Pengurusan Cukai ke atas Derma & Sumbangan di Malaysia
Bagi institusi atau organisasi yang menerima sumbangan awam, penting untuk memahami bagaimana pengurusan derma dan sumbangan dari sudut percukaian. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah mengeluarkan Practice Note No. 1/2025 bagi memberikan penjelasan berkenaan perkara ini.
Apa yang Perlu Diketahui
Derma atau sumbangan yang diterima oleh mana-mana “orang” — termasuk syarikat, sekolah, yayasan kebajikan, malah pemilik tunggal — boleh dikenakan cukai bergantung kepada cara dana itu digunakan.
Bila Derma atau Sumbangan Dikenakan Cukai?
Sumbangan boleh dianggap sebagai pendapatan perniagaan yang dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 sekiranya:
Penerima sumbangan menjalankan aktiviti perniagaan, dan
Dana digunakan untuk menampung atau menyokong operasi perniagaan tersebut.
Contohnya, jika sesebuah organisasi menggunakan derma untuk membayar gaji, operasi, atau yuran — ia boleh dianggap sebagai pendapatan perniagaan yang dikenakan cukai.
Contoh
Sekolah Pendidikan Khas mengenakan yuran dan turut menerima sumbangan untuk pelajar kurang berkemampuan. Memandangkan ia beroperasi seperti perniagaan dan menggunakan sumbangan bagi menampung pendapatan, maka sumbangan tersebut dianggap pendapatan bercukai.
Sebuah Yayasan (belum diluluskan di bawah Seksyen 44(6)) menerima sumbangan RM200,000 dan berbelanja RM165,000 untuk program kebajikan. Baki RM35,000 dianggap pendapatan dan dikenakan cukai.
Bagaimana Untuk Pengecualian Cukai?
Organisasi yang ingin menerima derma tanpa dikenakan cukai perlu memohon kelulusan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Jika diluluskan, derma yang diterima akan dikecualikan cukai di bawah Jadual 6.
Permohonan perlu dikemukakan kepada Bahagian Dasar Cukai, LHDN beserta dokumen lengkap. Garis panduan boleh dirujuk di laman rasmi: www.hasil.gov.my.
AMR Tips untuk Organisasi yang Mengurus Sumbangan
1. Rekod Setiap Sen
Pastikan semua penerimaan dan penggunaan sumbangan direkod dengan teratur — penting untuk audit dan percukaian.
2. Semak Status Anda
Belum mohon Seksyen 44(6)? Pertimbangkan untuk mengurangkan risiko cukai.
3. Asingkan Perniagaan dan Kebajikan
Elakkan mencampur sumbangan dengan hasil perniagaan tanpa perancangan cukai yang jelas.
4. Rancang Penggunaan Dana
Baki sumbangan yang tidak digunakan dalam tahun semasa boleh dikenakan cukai.
5. Rujuk Pakar Awal
Dapatkan nasihat cukai lebih awal untuk struktur terbaik bagi organisasi anda

