
Kerajaan telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan e-Invoice bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM150,000 hingga RM500,000 ke tarikh baharu iaitu 1 Januari 2026. Selain itu, tempoh percubaan selama enam bulan juga akan disediakan bagi perniagaan yang termasuk fasa terbaru ini iaitu Fasa 4.
Oleh yang demikian, Fasa 3 e-Invoice, yang akan bermula pada 1 Julai 2025, akan melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM500,000 hingga RM25 juta.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menentukan kategori jualan tahunan ini berdasarkan penyata kewangan tahun 2022 (sekiranya tersedia). Bagi perniagaan yang tidak mempunyai penyata kewangan 2022 atau berdaftar pada/selepas tahun 2022, mereka akan tertakluk kepada Fasa 4 dan hanya perlu melaksanakan e-Invoice mulai 1 Januari 2026.
Namun, LHDN menggalakkan perniagaan untuk mengadaptasi e-Invoice lebih awal, walaupun sebelum fasa yang ditetapkan. Ini dapat membantu syarikat membiasakan diri dengan sistem dan memastikan kelancaran operasi sebelum tarikh pelaksanaan rasmi.
Tips AMR:
Bagi perniagaan yang perlu mematuhi Fasa 3 (1 Julai 2025), adalah penting untuk mula memahami keperluan dan persediaan yang diperlukan bagi mengelakkan kesulitan di saat akhir. Manakala, bagi mereka yang berada dalam Fasa 4, mereka boleh mula merancang lebih awal bagi memastikan kelancaran peralihan ke sistem e-Invoice.
by Rabiq