Tempoh Peralihan Tambahan e-Invois Fasa 4: Apa Yang Perniagaan Perlu Tahu
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengumumkan kelonggaran tambahan pelaksanaan e-Invois Fasa 4, khususnya bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) membuat persediaan yang lebih realistik dan tersusun.
1. Tempoh Peralihan Dilanjutkan ke 12 Bulan
Pembayar cukai yang terlibat dalam e-Invois Fasa 4 bermula 1 Januari 2026 kini diberikan tempoh peralihan selama 12 bulan, berbanding 6 bulan sebelum ini. Tempoh ini berkuat kuasa dari 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026.
Sepanjang tempoh peralihan ini, HASiL tidak akan mengenakan penalti, dengan syarat pembayar cukai mematuhi kelonggaran yang dibenarkan.
2. Kelonggaran Utama Sepanjang Tempoh Peralihan
Dalam tempoh peralihan tersebut, pembayar cukai dibenarkan untuk:
- Mengeluarkan e-Invois disatukan bagi semua transaksi dan aktiviti, termasuk industri yang sebelum ini memerlukan e-Invois berasingan.
- Mengeluarkan e-Invois bil kendiri secara disatukan untuk semua keadaan bil kendiri.
- Menggunakan diskripsi transaksi yang fleksibel dalam medan “Keterangan Produk atau Perkhidmatan”.
Pendekatan ini memberi ruang kepada perniagaan untuk menstabilkan proses dalaman tanpa menjejaskan pematuhan asas.
3. Kelonggaran Khas Untuk Perniagaan Bahan Binaan
Kerajaan turut bersetuju memberikan kelonggaran khas kepada sektor pemborongan dan peruncitan bahan binaan:
- e-Invois disatukan dibenarkan mulai 1 Januari 2026.
- e-Invois hanya perlu dikeluarkan jika:
- Nilai transaksi melebihi RM10,000, atau
- Pembeli secara khusus memohon e-Invois.
Langkah ini bertujuan mengurangkan beban pematuhan harian bagi peniaga bahan binaan yang mempunyai volum transaksi tinggi.
4. Implikasi Kepada Perniagaan
Keputusan ini memberi isyarat jelas bahawa Kerajaan mengutamakan pendekatan pragmatik dan berfasa, bukan pematuhan tergesa-gesa. Namun, ia bukan lesen untuk menangguh persediaan — tempoh ini adalah peluang strategik untuk “percubaan dan tambah baik”.
AMR Tips: Strategi Bijak Menghadapi Tempoh Peralihan e-Invois
- Gunakan 2026 sebagai tahun “belajar dan praktis” – kemaskan SOP, mapping transaksi dan kawalan dalaman.
- Jangan tunggu saat akhir – sistem yang stabil awal mengurangkan risiko audit dan isu rekod di masa hadapan.
- Kenal pasti transaksi berisiko tinggi (bil kendiri, transaksi pukal, tunai) dan tetapkan standard dalaman lebih awal.
- Latih staf operasi, bukan hanya akaun – e-Invois ialah isu operasi, bukan sekadar isu compliance.
Bottom line: Tempoh peralihan ini adalah strategic buffer, bukan comfort zone. Perniagaan yang bertindak awal akan berada jauh di hadapan apabila penguatkuasaan penuh bermula.
by Rabiq

